Semalam, 21 Oktober 2012, menjadi detik gemilang sukan negara apabila Malaysia mencapai kejayaan dalam 3 sukan berbeza.
Pertama adalah dalam perlumbaan Moto GP. Pelumba negara yang beraksi dalam saingan Moto 3 GP dunia, Zulfahmi Zainuddin berjaya menduduki tempat ke-2 dalam perlumbaan di Litar Sepang. Ini menjadikan Zulfahmi rakyat Malaysia pertama menduduki podium dalam saingan perlumbaan motosikal peringkat dunia. Malah, pelumba wildcard negara, Hafisz Syahrin yang beraksi dalam saingan Moto2 GP turut mencipta sensasi apabila berjaya menduduki tempat ke-4 keseluruhan walaupun hanya bermula di tempat ke-27 pada permulaan. Lebih membanggakan, Hafisz sempat menduduki tempat pertama untuk 3 pusingan sebelum kembali dipintas pelumba lain. Ini jelas sekali membuktikan bahawa Malaysia memiliki barisan pelumba yang sememangnya berbakat. Saya yang menyaksikan perlumbaan di kaca tv agak teruja, terutama bila mendengar pengulas memuji kedua-dua pelumba negara ini yang berjaya menampilkan persembahan terbaik. Syabas untuk Zulfahmi & Hafisz.
Zulfahmi menduduki podium kedua saingan Moto3 GP
Gaya Hafisz selepas menamatkan saingan Moto2 GP di kedudukan ke-4
Gemilang kedua yang tercipta semalam adalah kemenangan skuad bola sepak Harimau Muda negara dalam aksi final Piala Newspaper di Vietnam. Malaysia menewaskan Vietnam 1-0 hasil jaringan Hazwan Bakri. Ini kali pertama Malaysia memenangi pertandingan ini. Lebih manis apabila Malaysia menewaskan juara bertahan, Vietnam di halaman mereka sendiri. Tahniah Ong Kim Swee dan skuad Harimau Muda.
Skuad Malaysia memenangi Piala Newspaper di Vietnam
Kejayaan ketiga pula dari sukan badminton. Dalam terbuka Denmark semalam, Malaysia memiliki 2 wakil dalam saingan akhir, iaitu Dato' Lee Chong Wei dan juga pasangan Koo Kien Kiat / Tan Boon Heong. Dato' Lee Chong Wei menepati statusnya apabila memenangi perlawanan selepas menewaskan wakil China, Du Pengyu. Manakala beregu tewas kepada beregu muda dari Korea. Syabas untuk mereka.
Dato' Lee Chong Wei memenangi Terbuka Denmark.
Diharapkan mereka semua akan terus cemerlang dalam saingan akan datang. Malah, atlet lain seharusnya mencontohi keazaman dan kecekalan mereka dalam mengharumkan nama negara. Tahniah sekali lagi untuk wira negara ini...
Malaysia Boleh...
Ulasan