Kelantan mengukuhkan status sebagai kuasa baru bola sepak negara apabila memenangi piala ketiga untuk musim ini. Tahniah buat skuad The Red Warriors.
Pada perlawanan akhir Piala Malaysia semalam, Kelantan menewaskan ATM dengan jaringan 3-2 selepas perlawanan berlanjutan hingga masa tambahan. Kemenangan semalam adalah kemenangan kali kedua Kelantan bagi saingan Piala Malaysia selepas kali pertama pada 2010.
Perlawanan semalam menepati selera peminat apabila 5 gol berjaya dijaringkan. Gol pertama dimiliki Kelantan pada minit ke 43 permainan apabila cubaan Norshahrul Idlan Talaha gagal ditangkap kemas Farizal Harun, penjaga gol ATM.
Bermula separuh masa kedua, Kelantan tersentak apabila pertahanan kental, Subramaniam terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. ATM mengambil peluang ini untuk menjaringkan gol menyamaan hasil rembatan Rizal Zambery Yahya yang terbias terkena Obinna. Namun, kegembiraan ATM hanya bertahan seminit apabila Norshahrul sekali lagi muncul pemusnah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan.
Ketinggalan 1-2, ATM membuat pertukaran yang jelas membuahkan hasil. Marlon Alex James berjaya menyamakan kedudukan dan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan. Namun, Indra Putra muncul wira Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan untuk memastikan Kelantan menjulang piala ketiga musim ini.
Lebih bermakna, Norshahrul Idlan dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan. Ini memberi lebih motivasi kepada Mat Yo untuk menghadapi saingan Piala AFF 2012 akan datang.
Kepada ATM, tahniah kerana berjaya mara ke perlawanan akhir.
Kepada The Red Warriors, tahniah atas kemenangan ini. Anda semua telah buktikan bahawa Kelantan sememangnya kuasa baru bola sepak negara. Anda telah mencipta sejarah baru untuk Kelantan.
Kawe banggo jadi anok Kelate...
Gomo Kelate Gomo...
(Credit gambar BHOnline...)
Ulasan