Akhirnya, impian untuk bergelar Juara Liga Super kini telah menjadi kenyataan. Kelantan berjaya mencapai sasaran untuk bergelar juara liga utama negara ini.
Kemenangan 2-1 ke atas Sabah semalam sudah memadai untuk Kelantan merangkul kejuaraan Liga Super buat pertama kali dalam sejarah. Kedua-dua gol Kelantan dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha. Namun, 2 gol Mat Yo semalam gagal membantunya mendapat anugerah Penjaring Terbanyak apabila Abd Hadi Yahya dari Terengganu dinobatkan selaku pemenang selepas menjaringkan 4 gol semalam.
Setakat ini, pencapaian Kelantan musim ini boleh dianggap sebagai cemerlang. Selepas menjuarai Piala sumbangsih, Kelantan mengucup pula piala Liga Super 2011. Walaupun tewas kepada Terengganu dalam final Piala FA lalu, namun pencapaian itu sudah boleh dibanggakan. Ini menunjukkan Kelantan sememangnya antara kuasa utama bola sepak Malaysia sekarang. Selepas ini, fokus dialih pula kepada Piala Malaysia. Misi penting untuk Kelantan sebagai juara musim lalu. Kelantan perlu berjuang bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim 2010.
Esok akan diadakan sambutan untuk meraikan kejayaan ini di Kota Bharu. Pagi esok akan ada sesi penyerahan piala oleh Presiden FAm di Wisma FAM. Piala akan dibawa pulang ke Kota Bharu. Pada sebelah malam, akan diadakan juga konsert di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bagi meraikan kejayaan ini. Menurut Portal Rasmi KAFA, akan ada perarakan piala dari lapangan terbang terus ke stadium amalam esok. Pastinya sambutannya hebat di Kota Bharu. Rugi rasanya tak dapat sertai kemeriahan ni....Huhuhu...
Dalam mengharungi musim 2011 ini, beberapa pemain telah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan. Selain Mat Yo dan Apek yang sememangnya pemain tetap skuad kebangsaan, beberapa pemain Kelantan lain turut dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. Antaranya ialah Rizal Fahmi Rosid, Farisham Ismail dan Shakir Shaari. Yang terbaru, Portal Rasmi KAFA melaporkan bahawa Daudsu, Subra, Izuan Solahudin dan Ketua Pasukan Kelantan, Piya akan dipanggil membarisi skuad negara dalam perlawanan persahabatan menentang Chelsea nanti. Satu perkembangan yang menarik untuk skuad Kelantan. Malah, lebih membanggakan adalah pemain muda berbakat besar, Izuan Solahudin terpilih untuk menyertai skuad Olimpik dan akan bersama-sama berlatih di Slovakia nanti. Ternyata aksi cemerlangnya ketika bersama skuad The Red Warriors mendapat perhatian barisan kejurulatihan skuad negara. Tahniah diucapkan.
Kepada skuad The Red Warriors serta pihak pengurusan dan kejurulatihan, tahniah saya ucapkan. Terima kasih juga kerana telah merealisasikan impian kami peminat bola sepak negeri Kelantan. Anda semua telah berjasa kepada sukan bola sepak negeri Kelantan. Teruskan usaha cemerlang untuk merangkul lebih banyak piala pada masa akan datang....
Gomo Kelate Gomo...
Ulasan